JIKA seseorang itu sakit, doktor boleh merawat dan mengubati penyakit itu, tetapi jika seseorang itu menghidap penyakit berpunca daripada hati, tiada siapa dapat merawatnya termasuklah doktor
Allah tidak melihat rupa atau berapa banyak harta hamba-Nya di akhirat kelak, tetapi Allah memberi penilaian tinggi kepada hamba yang memiliki hati mulia dan hati juga mencerminkan peribadi seseorang itu.
Setiap perbuatan baik yang dilakukan mencerminkan kesucian hati. Hati yang bersih dapat menolong kita di akhirat, sebaliknya jika hati busuk tiada siapa dapat mengubatinya termasuklah doktor,
Hati terbahagi kepada empat, iaitu hati baik, hati sakit, hati mati dan hati yang lalai sementara hati yang busuk sebenarnya bukan sifat Islam, tetapi lebih menggambarkan kepada golongan Yahudi.
Sesiapa berhati busuk banyak mewarisi sifat mazmumah dan ciri itu memang ada kepada golongan Yahudi yang bukan saja jahat, tetapi sombong serta munafik. Golongan itu mempunyai sifat keji seperti suka berdendam dan cemburu.
Sementara hati yang mati pula menggambarkan sikap seseorang yang hidupnya tidak mempunyai tujuan, golongan ini tidak dapat menilai kebenaran kerana mereka tidak menggunakan pancaindera untuk beriman kepada Tuhan.
Mereka mempunyai mata, tetapi buta kerana tidak dapat membezakan yang baik dan buruk. Ada telinga, tetapi pekak kerana tidak suka mendengar perkara membawa kebaikan. Pengertian hidup bagi golongan ini hanya untuk berseronok, megah dengan kemewahan dimiliki dan pentingkan duniawi, katanya.
Umat Islam perlu sentiasa mengingati mati supaya hati mereka berasa takut untuk melakukan perkara yang menimbulkan kebencian Allah sebaliknya akan bersungguh-sungguh mencari keredaan Allah.
Bagi mengawal hati supaya tidak lalai, umat Islam perlu melawan syaitan iaitu musuh yang kerjanya merosakkan hati dan tidak suka kepada orang yang bertaubat, sentiasa dalam wuduk dan membaca al-Quran.
Selain itu, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah diri serta membasahi lidah dengan berzikir mengingati dan memuji kebesaran Allah.
Setiap umat Islam kena jaga mata kerana syaitan akan masuk ikut mata terus ke hati. Setiap lelaki dan wanita juga kena kawal mata kerana ia boleh mencegah perbuatan maksiat termasuk zina.
Umat Islam juga hendaklah mengawal lidah kerana tutur kata tidak baik boleh merosakkan hubungan dan untuk melawan nafsu pula, umat Islam perlu tingkatkan ibadat terutama solat, mengadakan qiamulail, menambah ilmu pengetahuan agama dan mengikuti program dianjurkan masjid atau surau.
Oleh Noraini Ismail
No comments:
Post a Comment