Hasad atau dengki satu daripada maksiat batin yang boleh membinasakan seseorang. Kata Imam Al-Ghazali, ia sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Katanya lagi, ketahuilah hasad itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu (Hidayatus Salikin 206).
Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya. Rasulullah bersabda bermaksud: ”Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah Riadus Salihin 4:1441)
Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam:
Pertama menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan kepadanya.
Kedua, menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini lebih jahat daripada dengki yang pertama.
Ketiga, tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.
Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain.
Di dalam diri setiap manusia, memang ada keinginan kepada persaingan untuk melebihi atau mendapat nikmat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal di sisi Islam. Ia dikenal sebagai ghibtah.
Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju dan mendapat lebih nikmat maka ia berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain itu. Ini bukanlah dengki sebenarnya.
Ibn Masud meriwayatkan, Rasulullah ada bersabda bermaksud:”Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda dan membelanjakannya kepada perkara kebajikan.”
Kedua, keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan Agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya.”(Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi Mustika Hadis 106)
Dalam hadis ini, Rasulullah menerangkan dua nikmat pemberian itu amat besar kelebihannya sehingga mustahaklah tiap-tiap orang beriri hati dan berusaha dengan bersungguh-sungguh semoga Allah mengurniakan nikmat itu. Dengan itu dapatlah ia menggunakannya menurut cara sebaik-baiknya seperti yang digunakan oleh dua orang itu.
Kesimpulannya, hasad yang membawa kerosakan dan bala tidaklah dihalalkan. Yang dituntut oleh agama ialah iri hati untuk turut berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan nikmat Allah dan menggunakannya kepada perkara yang diredai-Nya.
Mengapa ya dalam kehidupan seharian kita, maksud aku disekeliling kita ada manusia-manusia yang busuk hati dan suka mendengki? Bila ada rasa tidak puas hati, jalan jahat yang dipilih sebagai perhitungan. Kononnya sebagai balasan di atas keterlanjuran kita samada dalam mengatur bicara atau berbuat laku cara. Mengapa mereka tidak berfikiran rasional sebaliknya bertindak seperti orang sakit mental? Tergamak melakukan kerosakan harta benda, sabotaj sini sabotaj sana. Tidakkah mereka fikir bahawa ada yang memerhati di atas sana? Yang menjadi mangsa terpinga-pinga kerana tidak tahu apa-apa. Sesak dan sebak di dada. Sedih dan marah bergaul rasa. Apalah salahnya kalau ada rasa tidak puas hati itu, ianya dibawa berbincang. Selesaikan dengan cara elok. Gunakanlah akal yang Tuhan kurnia. Jangan jadi bodoh mengalahkan lembu yang dicucuk hidungnya dan kamu perlu sedar bahawa kamu lebih bodoh kerana membiarkan nafsu menunggang akalmu.
p/s : Moga dia tabah menghadapi kerenah dan kebodohan manusia-manusia yang berhati busuk. Aku sentiasa mendoakan dia sentiasa cekal dan tidak putus asa dalam melaksanakan amanah yang diandal di atas bahunya. Tuhan! Bantulah dia.
Posted: Ogos 7, 2009 by hazri87 in Bengang, Dia, Perasaan
From Raddiah: Tah nape rase nak cari benda2 mcm nie tuk di syer bg semua n tuk diri sendiri yg sentiasa rase diri ini blum cukup sempurna.. Harap ia memberi kesedaran.. AMIN...
No comments:
Post a Comment